
Khai Bahar, dikenali menerusi aplikasi Smule sering dilihat menyanyikan lagu penyanyi lain ketika membuat persembahan.
Walaupun Khai kini mempunyai single sendiri yang berjudul Bayang, masih ada permintaan untuk dirinya menyanyikan lagu penyanyi lain.
“Saya akui, ada peminat yang menegur saya selalu menyanyikan lagu orang lain ketika membuat persembahan. Kalau boleh saya mahu mengurangkan perkara tersebut kerana takut ada peminat muak.
“Namun begitu, saya juga sedar ada orang yang gemar saya nyanyi lagu orang lain, ada juga yang kurang menggemarinya. Saya juga tidak boleh menolak permintaan orang.
“Kalau boleh, saya mahu elak untuk menyanyikan lagu orang lain. Tetapi semuanya bergantung kepada permintaan,” kata Khai.
Semakin selesa menyandang gelaran penyanyi, Khai mengakui dia menerima kritikan negatif daripada peminat.
“Saya mengakui saya merasakan tekanan semenjak bergelar artis. Namun begitu, saya tak boleh mengeluh kerana saya sendiri yang memilih jalan ini.
“Saya mengambil kritikan negatif itu sebagai satu pemangkin untuk saya memberikan yang terbaik bagi peminat yang menyokong selama ini,” katanya lagi.