
Andai mengikut perancangan, hari ini pengacara dan penyampai radio popular, Fara Fauzana, 36, sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan, Mohamed Hafiz Badiuzzaman, 30, di Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Namun, seperti diketahui ramai, pernikahan bekas penyampai stesen radio Hot FM ini dan Mohamed Hafiz dibatalkan atas alasan peribadi yang dinyatakan Fara dalam kenyataan yang mengejutkan peminat, baru-baru ini.
Pagi kelmarin, Fara berkongsi luahan hati di laman Instagram dengan memuat naik gambar sijil kursus ibadat haji. Fara juga melampirkan catatan yang ada kaitan dengan rancangan menunaikan ibadat haji selain secara simbolik merujuk kepada kemelut yang dihadapinya.
βIkut tarikh ikut hati sudah tiba masanya. Tapi setiap apa yang kita rancang hanya Allah yang tahu apa yang terbaik. Doakan supaya Allah izinkan saya untuk menjadi tetamu di tahun hadapan supaya melengkapi rukun Islam,β tulisnya.
Tambah Fara, dia percaya apa yang sudah tertulis tidak mampu diubah lagi.
βRamai yang berkata, ramai yang bertanya tapi siapalah saya untuk menahan semua kerana percaya setiap kata itu juga doa terbaik. Terima kasih semua kerana terus menjadikan saya kuat seperti hari ini. Semoga Allah terus membimbing kita. Sayang semua,β tulisnya.
Pada 1 Ogos lalu, Fara mengadakan sidang media khas mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang bersama Mohamed Hafiz pada 17 September (Sabtu lepas).
Tanpa memberi butiran lanjut identiti jejaka yang bakal dinikahi, Fara menjelaskan majlis pernikahan mereka akan dilangsungkan di Dewan Musfapha Kamal, Neo Damansara.
Bagaimanapun pada 4 September lalu, Fara mengeluarkan kenyataan majlis perkahwinan yang dirancang tidak menjadi kenyataan.