
Kekecewaan Rita Rudaini dalam mengharungi badai dua perkahwinan sedikit terubat dengan kehadiran jejaka istimewa 13 tahun lebih muda daripadanya.
Namun pelakon berusia 40 tahun itu enggan mengesahkan hubungannya dengan Donna Muslim, 27, sebagai pasangan kekasih tetapi hanya “kawan rapat yang menyenangkan hati”, lapor Kosmo!.
“Mungkin kerana dia pandai melayan anak-anak saya dan mereka juga selesa dengan kehadirannya,” katanya, menjelaskan dirinya terbuka hati dengan pengacara rancangan H! Live.
“Saya akui selesa bersahabat dengannya kerana dia seorang pendengar yang baik dan menyenangkan hati apabila saya bercerita tentang masalah kepadanya.”
Hasil pernikahan kedua dengan pemain bola sepak Aidil Zafuan Abdul Radzak, 12 tahun lebih muda daripadanya, Rita dikurniakan anak Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Rafqa Arjuna, 3.
Pelakon filem “Mami Jarum” itu berkata dua anak lelakinya itu menyuruhnya mencari pengganti bapa mereka namun beliau tidak sedia bercinta seperti orang muda.
“Saya tiada masa untuk menghabiskan masa berjam-jam bercakap di telefon atau menghantar mesej sekadar untuk berborak kosong.
“Sekarang saya cuma mempunyai masa terluang pada waktu malam selepas anak-anak tidur dan selesai kerja untuk membelek telefon.
“Jika ada lelaki yang boleh menerima keadaan itu, baguslah, kerana saya tiada masa hendak melayan mereka seperti pasangan bercinta yang lain,” katanya kepada akhbar itu.
Menyentuh soal lakonan, Rita masih enggan menerima tawaran melakonkan watak ibu walaupun usia mencecah 40-an.
“Pendirian saya masih kekal untuk tidak membawa watak ibu kerana pengarah serta penerbit masih melihat saya relevan untuk menjadi heroin dalam filem atau drama mereka,” katanya.