
Nama Lindsay Lohan, 30, sering kali terpalit dengan pelbagai kontroversi, namun beliau dilihat semakin mendalami agama Islam menerusi beberapa gambar yang sempat dirakamkan pihak media.
Bintang filem I Know Who Killed Me dan Mean Girls itu menimbulkan tanda-tanya mengenai perjalanan rohaninya apabila memuat naik gambar berhijab bersama seorang wanita ketika berkunjung di sebuah kem pelarian di Gaziantep, Turki.
“Insya-Allah. Doakan,” tulisnya ringkas mengiringi gambar bertudung yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.
Lohan memuji wanita Turki bernama Azize yang dilihat cantik berhijab dan keikhlasan pujian yang diberikan itu jelas terpancar menerusi sinar matanya.
Lohan kemudiannya mendekati wanita terbabit yang melambai dan memanggilnya dari jauh. Azize lantas menghulurkan hijab untuk disarungkan ke kepala Lohan.
Terdahulu, Lohan pernah mengejutkan netizen apabila dilihat membawa al-Quran. Pelakon wanita itu mengakui sedang membaca kitab suci tanpa menyembunyikan apa-apa.
“Saya seorang yang kuat beragama bagi seorang penganut Katolik, namun terbuka untuk mendalami kepercayaan lain.
“Setiap manusia mempunyai pandangan tersendiri mengenai al-Quran, namun kadangkala ia disalahertikan oleh sesetengah pihak,” katanya.