
Hanya bertahan selama 15 bulan, akhirnya percintaan Taylor Swift dan Calvin Harris atau nama sebenarnya Adam Wiles kecundang di tengah jalan.
Kurang lebih dari setahun yang lalu, Taylor Swift dilihat sangat mesra, dilamun cinta bersama dengan seorang DJ popular yang bukan sahaja kacak, malah terserlah sifat romantisnya -bijak mengambil hati wanita yang dicintainya itu.

Selepas menjadi pasangan yang paling mendapat perhatian media serta masyarakat dunia akhirnya, menurut beberapa buah sumber yang boleh dipercayai, tersuratlah sebuah kebenaran di mana Taylor dan Calvin akhirnya telah pun memutuskan untuk membawa haluan masing-masing.
Perpisahan mereka ini bukan sahaja membuatkan ramai yang terkedu, bahkan ada antara peminat yang terkilan dengan perpisahan tersebut.

Sumber dari E! berkata, “Semua ini terjadi minggu lepas. Taylor dan Calvin tidak bergaduh cuma hubungan cinta itu sayangnya tidak boleh diteruskan lagi. Dia (Calvin) yang memutuskannya. Tetapi, untuk pengetahuan semua, mereka masih lagi berkomunikasi dan Taylor masih ada meluangkan masa bersama Calvin untuk memberi sokongan ketika dan selepas kemalangan kereta yang ditimpa Calvin minggu lepas”.
Walau bagaimanapun, perpisahan antara bintang pujaan ramai yang berumur 26 tahun dan DJ berumur 32 tahun itu dilaporkan berlaku secara baik. Tiada pergaduhan besar di antara mereka dan mereka jelas bahawa kadang-kala sesebuah perhubungan tidak dapat diteruskan atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.
Calvin yang juga merupakan bekas kekasih kepada penyanyi pop Rita Ora dilihat sangat bahagia bersama Taylor beberapa bulan yang lalu apabila mereka menyambut ulang tahun pertama di sebuah destinasi percutian tropikal.
Loket Berbentuk Hati Yang Pernah Dihadiahkan Oleh Calvin Kepada Taylor Sewaktu Menyambut Ulang Tahun Pertama Percintaan Mereka 3 Bulan Lepas
Dalam sebuah temu bual bersama Vogue ketika menjadi muka hadapan majalah fesyen itu baru-baru ini, Taylor menyatakan bahawa dia masih belum terfikir untuk berkahwin dalam masa yang terdekat kerana masih banyak perkara yang harus diuruskan dengan penuh komitmen terlebih dahulu sebelum melangkah ke alam yang seterusnya.

“Saya dilamun cinta yang sangat ajaib ketika ini dan saya mahu kami tenang, mengambil masa terbaik ini untuk terus mengenali hati budi masing-masing”, jelasnya sewaktu masih lagi bersama Calvin saat itu.