
Selepas penafian bercinta pada Jun lalu, akhirnya pelakon Ruhainies dan Azrel Ismail mengaku sedang menjalinkan hubungan.
Namun, tindakan Ruhainies, 24, menidakkan hubungan yang berputik sejak tahun lalu kerana mahu pengakuan dimulakan oleh pihak lelaki.
“Selama ini saya bukan saya sengaja mengelak untuk memaklumkannya kepada umum, tetapi lebih manis jika lelaki yang berkongsi berita ini terlebih dahulu.
“Apapun hubungan yang terjalin ini masih terlalu awal. Soal jodoh dan takdir saya serahkan kepada Allah,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Azrel Ismail, 31, yang mengakui hubungan direstui kedua-dua keluarga berkata mereka masih tidak memikirkan soal kahwin.
“Memang benar, saya dan Ruhainies bercinta. Doakan semoga hubungan yang baru berputik ini berjalan lancar.
“Namun, saya tidak mahu tergesa-gesa dalam soal ini memandangkan kami berdua sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon. Biarlah kami mengecapi kejayaan terlebih dahulu.
“Saya juga semakin rapat dengan ahli keluarganya. Alhamdulillah kedua-dua keluarga merestui hubungan ini,” kata pelakon drama Syurga Nur itu.
Hero dan heroin drama Menantu Ting Tong itu sebelum ini menafikan wujud cinta lokasi di antara mereka.