
Baru-baru ini, telah berlangsung sebuah sidang akhbar Konsert High Note 2016.
Konsert High Note merupakan sebuah konsert berskala besar yang membariskan artis-artis ternama tanah air termasuklah Ziana Zain, Azlan Typewriter dan Jaclyn Victor. Mereke akan digabungkan dalam sebuah konsert eksklusif yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur selama 3 hri berturut bermula 25 November ini tepat jam 8 malam.
Saat pertama kali bersua mata dengan Ziana Zain, apa yang muncul dalam benak fikiran penulis adalah begitu rupawan sekali wanita ini. Wajahnya masih sama seperti dulu. Olesan solekan naturalnya sahaja sudah cukup untuk memancarkan kecantikan semula jadi dirinya biarpun usianya bakal mencecah 49 pada tahun hadapan. Tanpa segan silu, dirinya mudah sekali didekati dan penulis mengakui, insan seni yang seorang ini tersangatlah merendah diri biarpun sudah lama bertapak dalam industri muzik. Oh! Ziana juga seorang yang lucu!
Jika anda tertanya-tanya apa khabar Ziana Zain sekarang dan bagaimana dia mengekalkan kecantikan luar dan dalaman, ayuh Wanista kongsikan bersama.
#1 Sibuk Dengan Bisnes Tudung

Buat anda yang tidak tahu, Ziana Zain kini mempunyai label tudungnya sendiri iaitu Gee Shawl. Buat masa ini, koleksi Gee Shawl adalah unik berasaskan fabrik sari seiring dengan permintaan masa kini yang sentiasa mahukan kelainan.
#2 Tidak Minum Ais
Selebriti dengan nama sebenar Siti Roziana Zain ini amat menitik-beratkan penjagaan vokal. Jelasnya, jika terlalu haus sekali pun, dirinya tidak akan meminum minuman yang berais (mengasingkan ais dari air yang disediakan) terutamanya sebelum membuat sebarang persembahan.
#3 Suara Tidak Seperti Dulu
Mengakui suaranya kini berubah seiring dengan umurnya yang kian meningkat, dirinya berharap peminat masih tetap akan menerima dirinya sama seperti dahulu.
“Masih ada yang merasakan vokal saya seperti dahulu selain mampu menyanyi dengan nada tinggi macam zaman anak dara. Hakikatnya, kini, saya hanya menyanyi mengikut keselesaan dan bersesuaian dengan tahap usia saya.”
#4 Gemarkan Fesyen Yang Tidak Lapuk Dek Zaman
Ziana adalah ikon fesyen yang gemarkan konsep feminin dan sofistikated. Beliau memang suka gayakan busana yang tidak terlalu sarat namun masih lagi kelihatan berkelas.
#5 Rekaan Rizman Ruzaini Pilihan Hati
Kata Ziana, sentiasa ramai pereke fesyen tempatan yang akan berebut-rebut untuk mencipta busana istimewa untuk persembahannya. Namun, apa yang lebih dekat di hati Ziana adalah ilham rekaan dari Rizman Ruzaini sendiri. Rizman Ruzaini sendiri pun amat berbesar hati menawarkan khidmat untuk menaja busana Ziana.
#6 Berkat Doa Anak, Ziana Berhijrah
Anak sulung Ziana yang mesra dipanggil Aiman bersekolah di Sekolah Agama Sabak Bernam. Jelas Ziana, anaknya itu memang manja dan sering menelefon untuk mengingatkan Ziana supaya menjaga pemakaian agar sopan serta menutup aurat. Ziana menerima nasihat anak dengan hati yang terbuka dan dengan hidayah yang diberikan tuhan, Ziana memutuskan untuk terus bertudung ketika Ramadhan tahun 2014 lalu.
#7 Berpantang Nasi
Dalam menjaga kecantikan tubuh agar sentiasa kelihatan muda dan sihat, Ziana sebenarnya berkira-kira dalam pengambilan nasi. Jika sebelah pagi sudah makan, waktu makan malam akan diganti dengan roti dan sentiasa melebihkan mengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
#8 Bereksperimentasi Dengan Wajah Sendiri
Bukan mudah untuk mencari produk yang terbaik untuk muka. Setiap orang mempunyai jenis kulit yang tersendiri, Ziana sering bereksperimentasi dengan diri sendiri untuk mendapatkan hasil yang terbaik dari produk terbaik. Dirinya banyak juga menghabiskan masa di farmasi-farmasi bagi mendapatkan maklumat lengkap tentang sesuatu produk. Selain mengambil kira soal jenis kulit yang dimilikinya, faktor harga juga turut diambil kira kerana bukan semua produk mahal berkesan keatas kulit seseorang.
#9 Cuci Muka Sambil Berselawat
Ziana amalkan cuci wajah sambil berselawat untuk jadi awet muda sejak zaman anak daranya lagi. Ini adalah merupakan amalan turun-temurun yang dilakukan ahli keluarganya bagi mengekalkan kecantikan fizikal. Bahkan, tidak lupa juga kecantikan dalaman yang harus dilahirkan dari hati yang murni.
#10 Sentiasa Bersyukur
Ziana sentiasa bersyukur dengan apa yang dimilikinya. Keluarga, kerjaya, rezeki dan kesihatan adalah kurniaan yang paling dihargainya. Beliau percaya semua kemahsyuran dan kekayaan adalah pinjaman semata-mata dan bila-bila masa tuhan boleh menariknya semula. “Jangan rasa diri terlalu bagus kerana ada orang yang lagi bagus dari kita, sesungguhnya kita perlu merendah diri sahaja walau di mana pun tempat kita. Buat apa nak sombong kerana bukankah lebih manis jika kita meninggalkan ingatan yang baik-baik untuk orang kenang kita di masa hadapan?”.