
Pelakon “Akadku Yang Terakhir” tidak menafikan babak wataknya merogol watak Tiz Zaqyah yang diviralkan di Internet menjadikan drama itu lebih popular.
Amar Baharin berkata walaupun adegan itu tidak disiarkan di televisyen namun ia menjadikan drama itu mendapat perhatian umum.
“Saya tidak menafikan perkara tersebut, baik atau buruk, ia tetap publisiti. Mungkin disebabkan babak rogol yang tersebar itu, orang ramai lebih berminat untuk menonton keseluruhan drama tersebut.
“Sebelum menjadi viral, mungkin orang tidak sedar tentang kewujudan drama ‘Akadku Yang Terakhir’ kerana ia bersiaran setiap pukul enam petang dan bukannya pada waktu perdana.
“Walaupun dihentam saya tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya orang ramai bercakap mengenai drama ini tidak kira baik atau buruk,” katanya seperti dilaporkan Kosmo!.
“Akadku Yang Terakhir” merupakan drama 43 episod yang diadaptasi daripada novel nukilan Acik Lana.
Menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat pukul enam petang, drama yang ditayangkan Astro Maya HD menyaksikan Amar membawa watak Irham Zahri dan Tiz sebagai Rania Baheera.
Drama terbitan Global Station ini turut menampilkan Nina Nadira, Mardiana Alwi, Fikhree Bakar, Riz Amin, Ainul Aisyah dan Kay Khydir.
Babak rogol berkenaan tidak mendapat kelulusan stesen televisyen namun dikongsikan pengarah Harris Fadzillah di laman Instagram.
Amar, 31, berkata walaupun babak berkenaan dikecam pengguna media sosial namun ia tidak memberi kesan kepadanya.
Katanya, kecaman seperti itu bukanlah perkara baharu maka apa yang penting ialah kejayaan drama berkenaan.
“Ini bukan kali pertama saya menerima kritikan kerana lakonan. Jika terlalu ikut adegan dalam novel dihentam, tidak ikut juga menerima nasib sama kerana dikatakan mengubah karya asal.
“Jadi, saya tidak peduli kata-kata orang lain, asalkan kerja berjalan dengan baik sudah memadai.
“Saya lebih bimbang, jika tiada langsung berita atau respons daripada orang ramai terhadap drama dilakonkan,” beliau dilaporkan berkata.