
Tiada halangan bagi pemuzik Genervie Kam untuk berkahwin dengan Hazama kerana memiliki ciri-ciri kemelayuan, kata ibu penyanyi itu Hasmah Zahari.
Ibu Hazama Ahmad Azmi berkata Genervie seorang wanita yang berbudi bahasa, pandai memasak dan meminati masakan Melayu.
“Dia macam orang Melayu. Kadang-kadang lebih Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Bayangkanlah tempoyak pun dia suka makan dan juga ikan patin.
“Ada sesetengah orang Melayu pun tidak suka tempoyak,” katanya seperti dilapor portal mStar Online hari ini.
Hazama, 32, semalam dilaporkan merancang menikahi Genervie selepas Aidilfitri ini, awal Julai, namun majlis tersebut dirancang diadakan secara tertutup.
Keputusan itu diambil untuk mengelak tekanan kepada kekasihnya agar dapat menjalani kehidupan sebagai saudara baru dengan baik, tidak seperti insiden majlis memeluk Islam penyanyi Ummu Syaikhah Stacy Anam yang tersebar kepada umum.
Hasmah, 59, berkata beliau sudah beberapa kali bertemu dengan Genervie dan wanita itu mesra ketika diajak berbual.
Tambahnya, selepas tiga tahun percintaan Hazama dan Genervie, apa yang diharapkan pasangan itu menuju ke jinjang pelamin.
“Makcik restu hubungan Hazama dengan Genervie. Alhamdulillah, dia seorang yang berbudi bahasa dan ramah orangnya.
“Makcik serahkan segala-galanya kepada Hazama untuk buat pilihan mengenai calon isteri dia. Sebagai orang tua, makcik doakan yang terbaik buat mereka,” katanya.