
Awal minggu ini, heboh dengan khaar bahawa pelawak Mohd Shah Rizal Sulaiman atau lebih dikenali dengan panggilan Shah Tapaw nekad menamakan anaknya yang baru lahir dengan nama Muhammad Putra Naruto sehingga mendapat reaksi yang kurang senang daripada segelintir individu apabila sebuah gambar yang dimuat naik ke laman sosial empat hari lepas yang menyaksikan kolaj foto anaknya bersama sijil kelahiran yang tertera dengan nama ‘unik’ dari watak animasi Jepun tersebut.
“Saya minta maaf sebab hanya bergurau di Instagram. Tak sangka ia jadi viral,” kata Shah apabila dikritik netizen setelah mendedahkan nama anaknya yang berusia empat hari di laman media sosial.
“Sebenarnya keluarga saya selalu sangat tanya nak letak nama apa kat anak. Saya beritahulah nak letak nama Naruto. Mula-mula memang saya betul-betul nak bagi nama Naruto, tapi lepas tu tak jadi sebab keluarga pun tak setuju. Mereka kata nama tu bawa maksud yang tak elok,” katanya kepada Sinar Harian.
Walau bagaimanapun, selepas pulang daripada mendaftar nama di jabatan pendaftaran, dia mendapat idea untuk memuat naik gambar anaknya dengan sijil kelahiran yang telah diedit di bahagian nama bertujuan untuk bergurau.
“Saya saja buat macam tu untuk usik ahli keluarga, biar mereka ingat saya betul-betul namakan anak saya Muhammad Putra Naruto. Sebenarnya saya namakan anak Muhammad Putra Iyyad. Kalau baca betul-betul kapsyen bawah gambar tu pun boleh tau yang saya sebenarnya bergurau. Takkanlah anak saya boleh jadi Hokage,” katanya.
Tambahnya, dia tidak menyangka gurauannya itu menyebabkan gambar berkenaan tular dan menjadi perbincangan hangat di kalangan netizen.
“Saya minta maaf, saya betul-betul niat nak bergurau. Bukan nak timbulkan apa-apa isu. Terima kasih kepada semua yang telah memberi teguran secara berhemah. Saya amat menghargainya,” katanya.
Ditanya adakah Naruto akan menjadi nama timangan buat anak keduanya itu, Mohd Shah Rizal berkata, itu terpulang kepada orang lain namun dia tetap memanggil anaknya sebagai Iyyad.