
Seperti biasa setiap tahun, akan ada seorang selebriti yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi pengacara sekaligus membuat liputan saat berlangsungnya anugerah hiburan terbesar seperti Oscars The Academy Awards.
Untuk tahun ini, pelawak dan pengacara popular Nabil Ahmad yang terpilih untuk membuat liputan di karpet merah Anugerah Akademi ke-89 di Los Angeles, Amerika Syarikat, Isnin ini. Nabil bagaimanapun berkongsi perasaan menyatakan yang dirinya sedikit gementar kalau-kalau gagal melaksanakan tugas dengan baik.
Nabil, 33, adalah selebriti tempatan kedua dipilih membuat liputan di majlis berprestij dunia itu selepas Datuk Aznil Nawawi.
Nabil berkata dia juga bimbang kerana belum mendapat bayangan bagaimana keadaan di sana nanti. “Saya ada mendengar pengalaman Aznil dan rakan media yang pernah membuat liputan di sana. Walaupun ramai yang berkata agak sukar untuk mendapatkan temuramah bersama pelakon terkenal tetapi saya akan cuba.
“Ini kerana saya sudah menyimpan hasrat untuk menemuramah pelakon terkenal seperti Ryan Gosling dan Emma Stone,” katanya yang akan berada di sana selama dua minggu.
Nabil akan berangkat ke sana hari ini.
Menurut Nabil, dia sudah membuat pelbagai persediaan termasuklah kajian untuk soalan yang bakal diajukan.
“Saya mengkaji filem-filem yang dipertandingkan dan pelakon yang tercalon. Andai kata perancangan saya tidak berjaya menemuramah mereka yang diinginkan, saya sudah bersedia dengan perancangan lain.
“Mungkin perancangan ini adalah ‘kerja gila’ namun saya mahu melakukannya,” katanya.
Oscars akan bersiaran secara langsung di HBO Sentral, Astro, saluran 431 bagi waktu siaran Malaysia, jam 8 pagi Isnin depan.
The post Nabil Terpilih Buat Liputan Di Karpet Merah Oscars 2017 appeared first on Wanista.com.