
Aktor, Kamal Adli meletakkan kegagalan dalam beberapa percintaan lalu diatas sikap dirinya yang kurang prihatin terhadap pasangan dan sentiasa berada di zon selesa dalam perhubungan.
Namun setelah dia rapat dengan Emma Maembong, 24, pelakon wanita itu membuka matanya mengenai betapa penting menghargai dan bersikap prihatin terhadap orang disayangi.
“Emma membuka mata saya untuk menjadi lelaki yang bersyukur dan menghargai kehadiran pasangan kita.
“Janganlah pada awal perkenalan saja kita bersungguh-sungguh cuba mengambil hati dan selepas berada di zon selesa, kita mengabaikan dirinya. Itulah diri saya sebelum ini,” katanya kepada BH Online.
Kamal berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Rantaian Drama Melayu Terhebat Masa Kini Astro di sini, semalam.
Sebagai lelaki, dia kini lebih memahami mengenai wanita yang inginkan penghargaan dan perhatian dalam perhubungan.
“Percayalah, jika seorang lelaki sentiasa menghargai dan prihatin terhadap pasangannya, si dia takkan meninggalkan dirinya,” ujar aktor berusia 34 tahun itu.
Sementara itu, ditanya pula mengenai hala tuju perhubungannya dengan Emma, Kamal berkata mereka masih akrab.
“Kami menjalinkan hubungan yang matang dan tiada sorok-sorok. Jika ada jodoh, kami menerimanya.
“Cuma, kami rasa lebih selesa andai perhubungan ini kurang menjadi bualan ramai. Apatah lagi ada segelintir pihak yang suka membandingkan pasangan pelakon lain dengan kami. Takut nanti orang benci pula,” tuturnya.
Gosip keintiman Kamal dengan Emma mula diperkatakan apabila gambar memaparkan kemesraan antara mereka muncul di media sosial sekitar pertengahan 2015.
The post Kerana Emma..Kamal Adli Kini Belajar Menghargai Wanita appeared first on Wanista.com.