Quantcast
Channel: Hiburan Archives | Miss Murai
Viewing all articles
Browse latest Browse all 1584

Datuk Aznil Sedia Jadi Orang Tengah Bantu Artis Tangani Masalah Cukai

$
0
0
Datuk Aznil Nawawi. Foto - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor.

Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi, bersedia untuk menjadi orang tengah bagi membantu golongan artis yang berdepan masalah cukai selain menolong mereka mendapat maklumat terperinci mengenai pembayarannya.

Sebagai bekas Ikon Saya Cinta Malaysia Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Aznil berkata, hubungan baik yang terjalin dengan badan berkenaan memudahkan lagi tugasnya untuk membantu golongan artis dalam menyelesaikan masalah mereka.

“Sepanjang bergelar Ikon Saya Cinta Malaysia LHDN, saya didedahkan dengan pelbagai maklumat yang mungkin boleh membantu golongan selebriti dalam menyelesaikan urusan pembayaran cukai mereka.

“Sebelum ini pun, saya bersama LHDN ada menganjurkan sesi taklimat kepada golongan artis mengenai perihal cukai, malangnya tidak ramai golongan selebriti yang hadir.

“Bagaimanapun, memandangkan isu ini kembali hangat dan jika ada permintaan, saya rasa tiada masalah untuk saya menganjurkan acara sama selepas ini,” katanya kepada BH Online.

Sebagai selebriti, Aznil memahami situasi golongan artis yang agak keberatan untuk berurusan di kaunter bagi menyelesaikan masalah cukai masing-masing.

“Saya faham, bagi sesetengah artis isu cukai sangat bersifat peribadi. Mereka mungkin malu atau keberatan untuk ke kaunter bagi bertanyakan hal terbabit. Maklumlah, bimbang juga jika ada yang merakamkan video ataupun mengambil gambar. Dalam hal ini, saya boleh membantu dengan mengaturkan pertemuan secara peribadi bersama pihak LHDN.

“Mereka sangat terbuka dan rasanya tiada masalah untuk kedua-dua pihak berbincang secara tertutup. Cuma yang penting, artis jangan cuba melarikan diri daripada menjalankan tanggungjawab mereka. Pihak LHDN tentu saja mempunyai banyak cara untuk mengesan artis yang cuba mengelakkan diri daripada membayar cukai,” katanya lagi.

Isu cukai artis kembali diperkatakan selepas pelakon jelita, Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta, gagal ke luar negara kerana mempunyai cukai tertunggak.

Isu menjadi semakin hangat apabila aktres cantik, Nora Danish, seperti yang dilaporkan sebuah portal, mencadangkan LHDN memberikan pelepasan cukai bagi menampung kos ‘penampilan diri’ untuk selebriti dan artis.

Kenyataan Nora yang dengan pantas menjadi viral bagaimanapun tidak disenangi netizen. Beberapa blog membuat tanggapan seolah-olah golongan artis boleh mengelakkan pembayaran cukai.

Nora kemudian menafikan beliau mengeluarkan kenyataan sebegitu dan mendakwa ia diputarbelitkan.

SUMBER


Viewing all articles
Browse latest Browse all 1584