
Sudah lama berdiam diri selama beberapa tahun ini, sebaliknya bekerja dibelakang tadbir. Kini, Aizat Amdan kembali menampilkan single terbaru yang berjudul ‘Jangan Menangis’. Sebuah lagi hasil ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan dan Aizat sendiri.
Buat pertama kalinya lagu ‘Jangan Menangis’ ini menggabungkan kerjasama antara syarikat rakaman iaitu Warner Music (M), Faithful Music dan Kasi Gegar Entertaiment membawa suatu kelainan untuk menghasilkan dan memasarkan single terbaru ini.
Tercetusnya inspirasi untuk menghasilkan lagu ini datangnya dari pengalaman Aizat ketika beliau bersama-sama Faizal Tahir, Noh Hujan dan Muadzulkefly menyertai ekspedisi 1Moment4them pada tahun 2013. Ekpedisi ini sebuah pengembaraan gerakan 1Moment4them untuk membantu rakyat bumi Syria yang sedang menghadapi peperangan sivil. Ia simbolik dan menepati tema ‘kemanusiaan’ kerana mesej yang cuba disampaikan begitu luas.
Lagu ini juga boleh diambil sebagai lagu universal dimana mengisahkan bagaimana seseorang itu mengharungi cabaran dan dugaan yang bakal mendatang saban hari dengan tabah dan kuat tanpa kenal erti kesedihan. ‘Jangan Menangis’ turut memberi satu peringatan kepada setiap individu betapa pentingnya untuk mengambil tanggungjawab dan tindakan apabila berhadapan dengan situasi sukar.
Harapan Aizat adalah menjadikan lagu ini sebagai sesuatu yang dapat memberi ketenangan kepada pendengar justeru dapat meneruskan kehidupn seharian mereka dengan tabah walaupun ditimpa kesusahan.
Khas buat peminat Aizat Amdan, lagu ‘Jangan Menangis’ edaran Warner Music (M) Sdn Bhd boleh dimuat turun di semua platform digital mulai 10hb Mac 2017.
The post ‘Jangan Menangis’ Nukilan Aizat Amdan Untuk Mereka Yang Kesedihan appeared first on Wanista.com.